BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, September 15, 2012

Kad Diskaun Pelajar



Putrajaya: Kira-kira 1.5 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bakal mendapat diskaun sehingga 60 peratus untuk pelbagai produk menerusi Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang dilancarkan semalam.


Kad itu akan diagihkan bermula sesi pengajian September ini bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar IPT. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan KDS1M di sini, berkata kad diskaun itu adalah idea mahasiswa sendiri menerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK). 



“Kad diskaun ini adalah bagi menangani peningkatan kos sara hidup pelajar dan kerajaan menerima cadangan MPPK. Malah, ia dilaksanakan dalam tempoh enam bulan selepas idea ini diutarakan.



Pandangan pelajar diberi perhatian



“Ini membuktikan pandangan pelajar diberi perhatian dan cadangan sesuai diterima dan dilaksanakan kerajaan selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya berucap pada majlis itu.



Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Terdahulu, Muhyiddin, yang mempengerusikan mesyuarat MPPK 1/2012 mengingatkan mahasiswa supaya berfikiran terbuka dalam menerima agenda kerajaan.



Katanya, pelajar sebagai pemangkin dan penggerak kepada agenda negara harus membuat pertimbangan wajar lagi waras demi kepentingan rakyat serta negara.



Mesyuarat tertutup itu dihadiri 70 perwakilan daripada 20 IPT awam dan 20 IPT swasta dari seluruh negara. 



Muhyiddin berkata, melalui MPPK, kerajaan membuka peluang seluas-luasnya kepada pemimpin mahasiswa sebagai peneraju masa depan negara untuk terbabit secara secara langsung dalam proses merencana agenda nasional.



Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kad itu turut diberi kepada pelajar sarjana dan doktor falsafah.



Pelajar hanya perlu menunjukkannya bersama kad pengenalan bagi mendapatkan diskaun ditawarkan.



KDS1M terhad kepada tempoh masa pengajian saja dan pelajar tidak perlu memohon, sebaliknya diberi secara automatik bila maklumat pelajar disalurkan IPT kepada kementerian dan Bank Rakyat, katanya.




No comments:

Post a Comment